Pos Malaysia mahu tarif baharu - Utusan Malaysia

Pos Malaysia mahu tarif baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd. menutup tahun kewangan terkininya dengan kerugian, untuk suku yang ketiga dan terbesar pada suku keempat (Q4) tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM141.13 juta dalam Q4 berbanding keuntungan bersih RM29.03 juta pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan merosot sembilan peratus kepada RM594.70 juta.

Syarikat itu berkata, kerugian tersebut disebabkan hasil lebih rendah daripada segmen kurier dan logistik, ‘perbelanjaan lain’ lebih tinggi daripada rosot nilai sebanyak RM39.62 juta di Pos Logistics dan peningkatan kos jualan dan perbelanjaan operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang tahun berkenaan, Pos Malaysia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM165.75 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM93.25 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil merosot kepada RM2.36 bilion daripada RM2.47 bilion sebelum ini disebabkan prestasi perniagaan mel, antarabangsa dan logistik yang lemah di Pos Malaysia dan Pos Logistics.

Dalam kenyataan dikeluarkan baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Najib Syed Md. Noor berkata, ia disebabkan kemerosotan berterusan dalam jumlah mel sebanyak 13 peratus tahun ke tahun, ditambah kos yang tinggi berkaitan dengan kewajipan perkhidmatan sejagat.

“Kami bekerjasama rapat dengan pengawal selia bagi menyeimbangkan semula keseluruhan tarif dan mengemas kini tarif yang kali terakhir diubah pada tahun 2010, mencerminkan kos semakin meningkat untuk berkhidmat kepada negara,” katanya sambil menyatakan terdapat peningkatan 17 peratus dalam alamat pos baharu kepada 8.9 juta alamat daripada 7.6 juta lima tahun lepas.

“Kami menjangkakan hasil positif daripada pengawal selia mengenai perseimbangan semula tarif.

“Rosot nilai juga dibuat untuk kebaikan Pos Logistics disebabkan peningkatan persaingan yang mengakibatkan catatan prestasi di bawah jangkaan. Rosot nilai ini merupakan perbelanjaan sekali sahaja,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini