SAJIAN daripada bahan yang disalai seperti daging, ayam dan itik yang dimasak lemak cili api atau rendang memberikan kelainan kepada juadah berbuka puasa di Restoran Duyong, Kelab Darul Ehsan (KDE). Menu yang terkenal di Negeri Sembilan itu kini boleh dinikmati di restoran tersebut sepanjang Ramadan tahun ini.
Pengurus Makanan dan Minuman, Awang Maswarat Gide berkata, pihak restoran menyalai sendiri daging lembu, ayam dan itik selama dua hingga tiga jam setiap hari bagi memastikan hanya daging segar digunakan untuk dimasak lemak atau rendang.
Menurutnya, pihaknya juga menawarkan daging, itik atau ayam salai yang belum dimasak kepada orang ramai.
“Tempahan hendaklah dibuat dua hari dan harga seekor itik salai adalah RM77, ayam salai RM44 dan satu kilogram daging salai RM47,” katanya kepada Mega Rona.
Lebih 100 juadah berbuka puasa disediakan oleh cef berpengalaman yang diketuai Eksekutif Cef Junior, Mohd. Zhafri Hasim kepada pengunjung sehingga 3 Jun ini.
“Restoran Duyong menyediakan tujuh kitaran menu dalam seminggu bagi memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung. Antara hidangan utama adalah masakan salai, rendang, ikan panggang, kambing golek, ketam masak lemak cili api, asam pedas ikan tenggiri dan sambal udang petai.
“Hidangan pembuka selera pula adalah rojak, bubur, sup dan lain-lain,” katanya.
Bertemakan Bazaar d’KDE, restoran tersebut menjanjikan kualiti masakan yang setanding dengan rasa yang enak dan secukup rasa.
Untuk melengkapkan hidangan, pilihan minuman yang disediakan adalah teh tarik, air kacang soya dan jus buah-buahan selain 12 jenis kuih-muih Melayu tradisional, pastri, air batu campur dan buah-buahan.
Mengulas lanjut, Awang Maswarat berkata, selain masakan tempatan, restoran tersebut juga menghidangkan masakan Nusantara seperti terek daging sapi dan gepok daging sapi yang mana kedua-duanya sukar ditemukan dalam senarai menu di restoran lain.
Sambil menikmati hidangan istimewa dari dapur KDE, pengunjung dihiburkan oleh kumpulan muzik yang membuat persembahan secara langsung.
Harga pakej berbuka puasa di KDE bagi dewasa adalah RM79 manakala kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dikenakan bayaran RM35 seorang.
Untuk tempahan, hubungi 03-4251 1471 atau 03-4151 6567.











