HOTEL Kuala Lumpur International sekali lagi mengadakan promosi berbuka puasa dengan menyajikan masakan kampung dan shellout bertempat di Toppot Cafe, Aras 4. Hotel yang terletak di Lorong Haji Hussein 2 off Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur itu menawarkan bufet Ramadan bertemakan Lambaian Lautan.
Hotel itu dalam satu kenyataan memberitahu, sambil ‘mencuci mata’ melihat keenakan deretan sajian bufet seperti aneka kerabu dan sambal, sup, roti jala, rojak buah, ikan bakar, bubur lambuk, masakan goreng dan banyak lagi, pengunjung juga dapat melihat sesi memasak secara langsung oleh cef terlatih.
Bagi memeriahkan promosi tahun ini, pelbagai insentif ditawarkan antaranya promosi diskaun kad kredit iaitu pemegang kad kredit Bank Rakyat, Public Bank dan Standard Chartered berpeluang mendapatkan potongan diskaun sebanyak 10 peratus.
Apa yang lebih menarik, warga emas dan penginap bilik akan menikmati potongan diskaun sehingga 50 peratus.
Bagi mereka yang ingin merebut ganjaran pahala pada bulan mulia ini, pihak hotel turut menawarkan pakej penajaan berbuka puasa bersama anak yatim serta pelajar tahfiz dengan harga bermula dari RM45.
Bufet Ramadan yang akan berakhir pada 2 Jun ini dibuka dari pukul 6.30 petang hingga 9 malam. Harga untuk dewasa adalah RM69 seorang manakala RM34.50 untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.
Selain itu, pihak hotel turut menyediakan moreh percuma pada setiap hari kepada jemaah yang menunaikan solat sunat tarawih di surau hotel. Dalam pada itu, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah dipimpin oleh imam bertauliah yang dijemput khas.
Bagi memeriahkan lagi suasana iftar di hotel itu, penyanyi era 1990-an yang pernah popular dengan lagu Kau Ratnaku, Mohammed Rauzan Alwi atau lebih dikenali sebagai Roy turut diundang untuk membuat persembahan solo pada setiap hari Selasa dan Rabu bermula pukul 8 hingga 10 malam.
Sementara itu, kaunter zakat fitrah akan beroperasi di lobi hotel bermula 20 Mei hingga 2 Jun manakala sudut pameran yang dikendalikan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan berlangsung selama lima hari bermula 20 Mei hingga 25 Mei.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang promosi hotel boleh menghubungi Pengurus Jualan dan Pemasaran Kuala Lumpur International Hotel, Sharifah Sharina Wafa di talian 019-2772882 atau layari laman sesawang www.klitel.com.my.











