Teknologi pada masa kini berkembang pesat merentasi sempadan sekali gus menggalakkan lebih ramai kanak-kanak menonjolkan bakat terpendam mereka menerusi platform media sosial.
Apa sahaja yang ingin dipelajari turut boleh diakses dengan mudah tidak kiralah untuk sesi pembelajaran mahupun sekadar aktiviti santai pada hujung minggu.
Fesyen, masakan, solekan dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang dipaparkan dalam media sosial kadang kala mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada golongan kanak-kanak untuk meningkatkan daya kreativiti mereka.
Itulah yang diakui oleh jurusolek cilik (MUA), Nurul Iris Nasyilah Khairi yang viral ekoran gambar dan video solekannya dikatakan setaraf dengan MUA dewasa meskipun dia baru berusia 11 tahun.
Kata Nurul Iris, dia mula ‘bermain’ dengan alat solek sejak berusia lapan tahun lagi kerana minat yang mendalam terhadap teknik solekan yang dilihat dalam media sosial.
“Semua teknik solekan tersebut saya pelajari sendiri dengan menonton video tutorial dalam YouTube atau Instagram.
“Biasanya saya menggunakan barangan mekap yang dibeli dari kedai kecantikan atau farmasi seperti Watson selain diberikan orang ramai untuk mempromosikan produk mereka,” katanya kepada Mega Rona.
Mengulas lanjut, Nurul Iris memberitahu bahawa dia hanya dibenarkan ibunya untuk ‘bermain’ dengan alat solek ketika waktu cuti sekolah bagi mengelak menganggu pelajaran.
“Saya masih bersekolah dan perlu mengikuti rutin sebagai seorang pelajar seperti mana kanak-kanak lain iaitu pada waktu pagi, saya akan ke sekolah seperti biasa dan pada waktu petang, saya menghadiri kelas KAFA.
“Pelajaran lebih diutamakan, jadi pada setiap Sabtu dan Ahad sahaja saya dibenarkan ibu untuk meneroka kehebatan seni solek menerusi alat solek yang dibelikan ibu,” katanya.
Tambah Nurul Iris, meskipun minatnya dalam bidang solekan mendapat sokongan penuh keluarga, namun dia berasa sedih apabila dikecam hebat oleh netizan.
“Ada yang kata saya tidak pandai jaga muka, kecil-kecil muka sudah tua,buruk dan banyak lagi.
“Jangan mengata orang, saya turut mempunyai cita-cita apabila besar nanti,” katanya.
Nurul Iris yang bercita-cita menjadi seorang guru memberitahu, selepas video solekannya tular, dia mula mendapat permintaan tinggi untuk menyolek wajah individu yang akan menghadiri majlis-majlis tertentu.
“Ramai yang minta saya solek wajah mereka untuk menghadiri majlis atau perkahwinan. Setakat hari ini saya hanya mampu beri khidmat solekan kepada tujuh orang kerana kekangan masa sebagai pelajar.
“Meskipun bayaran yang diterima agak lumayan, namun saya tetap menjadikan pelajaran nombor satu,” katanya yang turut menjadikan MUA Bellaz sebagai idola.











