LONDON 21 Mei -Penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, optimis dia kini berada di tahap terbaik dalam kariernya selepas melalui kempen hebat bersama The Gunners.
Bekas bintang Lyon itu telah meledakkan 19 gol dan 11 bantuan jaringan dalam semua kejohanan buat Arsenal hasil gandingannya bersama Pierre-Emerick Aubameyang.
Walaupun Lacazette tidak disenaraikan dalam skuad Perancis yang terbaru, pemain berusia 27 tahun itu percaya dia berada di puncak permainannya musim ini dan telah menjaringkan lima gol dalam sembilan aksi menuju ke final Liga Europa.
“Saya telah bermain bola sepak terbaik dalam karier musim ini dan buat Arsenal, bukan disebabkan jumlah gol yang saya jaringkan tetapi permainan saya telah meningkat.
“Dapat menyumbang tanpa menghasilkan gol sangat penting buat pasukan. Bagi saya, setakat ini saya menikmati bermain bola sepak bersama rakan sepasukan di Arsenal.
“Anugerah individu tidak begitu penting. Ia sentiasa menjadi satu penghormatan tetapi ia bukan perkara pertama saya fikirkan apabila bermain bola sepak. Saya mahu memenangi kejuaraan seperti Liga Europa,” katanya menjelang aksi final menentang Chelsea pada 30 Mei nanti di Baku. – AGENSI











