IPOH 21 Mei – Perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya menjadi isu besar sehingga membawa kepada
perdebatan.
Setiausaha DAP negeri Perak, Wong Kah Woh sebaliknya berkata, perbezaan pandangan perlu dibawa berbincang atas semangat kerajaan berhemah dalam konteks kepimpinan Malaysia Baharu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur percaya bahawa prinsip
demokrasi membenarkan mana-mana pihak bebas menyuarakan pandangan
masing-masing dan jika timbul perbezaan pendapat ia hanyalah isu kecil dan tidak akan menggugat kestabilan kerajaan.
“Saya percaya kepimpinan tertinggi dalam PH mempunyai perspektif
tersendiri sebelum membuat sebarang keputusan.
“Dalam kerajaan Malaysia baharu kita menerima perbezaan pendapat sebagai
salah satu buah pandangan daripada pemimpin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan
di Masjid Jamek Al-Dinniah, Kampung Sri Kinta di sini hari ini.
Kah Woh mengulas berhubung kecaman beberapa pemimpin DAP berikutan
kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempertikaikan tindakan majikan menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin di negara ini.
Antara pemimpin DAP yang mengkritik kenyataan Maszlee termasuk veteran DAP, Datuk Teng Chang Kim dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy. – UTUSAN ONLINE











