Maszlee meletakkan yang hak di tempat sepatutnya - Utusan Malaysia

Maszlee meletakkan yang hak di tempat sepatutnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Mei – Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkenaan isu matrikulasi dan keperluan fasih bahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan tidak bersifat perkauman sebaliknya lebih kepada meletakkan sesuatu yang hak di tempat sepatutnya.

Sehubungan itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Shameer Sulaiman berkata, Maszlee tidak perlu memohon maaf atau menarik balik kenyataan tersebut.

Malah, kata beliau, Armada negeri juga membantah gesaan menerusi petisyen supaya Maszlee meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa sama, beliau mengingatkan soal keadilan bukan semata-mata memberi hak sama rata kepada semua tetapi perlu berdasarkan Perlembagaan yang sewajarnya menjadi pegangan teguh dan harus difahami semua pemimpin.

“Isu kuota bumiputera untuk kemasukan ke matrikulasi telah diputuskan oleh mesyuarat jemaah menteri yang turut dianggotai beberapa pimpinan DAP dan perkara ini tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Maszlee sebelum ini dikritik hebat oleh pemimpin DAP termasuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, Datuk Teng Chang Khim dan Dr. P. Ramasamy berikutan kenyataan beliau yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempertikaikan tindakan majikan menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin di negara ini.

Chang Kim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan Maszlee sebagai ‘bodoh’ sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tiada bezanya dengan pemimpin UMNO.

Dalam pada itu, Shameer berkata, Ramasamy seharusnya diam dan lebih proaktif kepada pembangunan perancangan dalam pemerkasaan pendidikan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini