Hanya mahu laga Dr. Mahathir dan Anwar - Utusan Malaysia

Hanya mahu laga Dr. Mahathir dan Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Mei – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan dakwaan bahawa Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen tahun depan sebagai usaha melaga-lagakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berdepan sebarang permasalahan pentadbiran sepanjang setahun ini.

Menurutnya, beliau percaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan apabila sampai tempoh dan Dr. Mahathir pula akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar mengikut perjanjian sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan ada masalah apa pun sehingga perlu bubar, ini hanya permainan politik pembangkang yang kononnya mendakwa PRU-15 akan diadakan tahun depan bagi mengelak Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Sebenarnya, mereka hanya mahu melaga-lagakan Dr. Mahathir dan Anwar dalam isu tersebut,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini malam tadi.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk dalam kalangan kepemimpinan pembangkang menjangkakan PRU-15 akan diadakan pada bila-bila masa dan seawal tahun depan berikutan desakan rakyat.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia bersimpati terhadap ahli Pas yang jujur dalam perjuangan berikutan parti itu kini berada dalam kemunafikan politik selepas diperalat demi kepentingan pemimpinnya.

Sebagai antara bekas pemimpin Pas, ujar Mahfuz, beliau memahami sikap ahli parti itu yang sebenarnya mudah ditipu termasuk dalam isu ‘kartel dedak’ seperti yang didedahkan menantu Presiden parti itu sendiri.

“Ramai ahli Pas termakan dengan penafian kepemimpinan parti itu selepas pendedahan oleh Zaharudin Muhammad mengenai berlaku penerimaan dana daripada UMNO kepada pemimpin Pas.

“Memang jelas perkara ini berlaku, saya kasihan kepada ahli Pas, mereka sangat jujur tetapi berada dalam lubuk kemunafikan politik parti dan berharap mereka dapat berfikir mengenai perkara itu daripada terus diperalatkan pimpinan Pas,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini