KUANTAN – Hasrat seorang guru wanita di sini memohon pinjaman RM10,000 berakhir hampa apabila kerugian RM11,170 akibat ditipu ketika kejadian semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, guru berusia 32 tahun berkenaan memohon pinjaman tersebut pada Sabtu lalu selepas tertarik tawaran iklan di laman sosial Facebook.
Ujar beliau lagi, mangsa meninggalkan nombor telefon di ruang iklan pinjaman tersebut sebelum dihubungi wanita memperkenalkan diri sebagai Ivy Lee Peck Wei menggunakan talian 011-6205 4308.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat UOB Smart Solution yang menawarkan pinjaman peribadi.
“Mangsa bersetuju untuk meminjam dan diarahkan membuat pelbagai bayaran proses,” katanya menerusi kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, guru wanita berkenaan semalam melakukan enam transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun milik individu berlainan.
“Mangsa menyedari tertipu selepas berasa pelik kerana masih diminta membuat pelbagai jenis bayaran. Kes dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” tambah beliau.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











