KUALA LUMPUR 20 Mei – Dua rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus di bahagian dapur dalam kejadian di penempatan atas air Kampung Tampi-Tampi, Semporna, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran daripada merebak berjaya menyelamatkan puluhan rumah di penempatan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.09 pagi sebelum dua jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, operasi memadam kebakaran dilakukan menggunakan sumber air daripada jentera selain pam apung yang menyedut air laut.
“Anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit sebelum api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 9.24 pagi
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat pada pukul 10.32 pagi. – UTUSAN ONLINE











