Kongsi teknologi baiki kenderaan - Utusan Malaysia

Kongsi teknologi baiki kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
PEMILIK kereta Malaysia berada dalam dilema. Mereka tidak dapat menghantar kenderaan dengan enjin berkomputer ke mana sahaja untuk diperbaiki kecuali di pusat servis bertauliah yang dikhaskan.

Situasi itu menyebabkan pusat servis bertauliah memonopoli pembaikan kereta sedemikian dan bengkel bebas tidak dapat bersaing. Bahkan, pemilik kereta tidak boleh mendapatkan ‘pendapat kedua’. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mencontohi Australia yang pada Februari lalu memperkenalkan skim mandatori bagi perkongsian servis kenderaan bermotor dan maklumat pembaikan. Dengan itu, menjadi satu mandatori bagi peniaga kereta untuk berkongsi teknologi pembaikan kenderaan dengan bengkel kereta bebas.

Langkah itu susulan Perjanjian berhubung Akses kepada Servis dan Maklumat Pembaikan Australia bagi kenderaan bermotor yang ditandatangani pada 2014 antara badan industri mewakili pengeluar kereta dan mekanik bebas untuk memastikan akses yang adil kepada maklumat pembaikan berdasarkan sukarela. Kemudiannya satu kajian oleh Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) pada 2017 menunjukkan sistem sukarela tidak berkesan, dengan itu menyarankan diubah menjadi skim wajib.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika skim mandatori digunakan, ia akan mewujudkan padang permainan yang sama rata bagi lebih daripada 30,000 mekanik kereta tempatan di Australia.

Kita seharusnya mencontohi Australia disebabkan sudah terlalu lama pemilik kereta Malaysia dipaksa untuk menghantar kereta mereka ke pusat servis bertauliah yang mengenakan caj lebih walaupun servis mungkin kurang memuaskan berbanding bengkel kereta bebas.

Kita mempunyai banyak mekanik kereta bebas yang bekerja keras yang mungkin terpaksa menutup bengkel pada masa akan datang memandangkan lebih banyak kereta dengan enjin berkomputer dikeluarkan. Ini boleh berlaku jika mereka tidak mempunyai akses yang adil kepada peralatan diagnostik kereta.

Ketika ini terdapat lebih 50,000 bengkel kereta bebas di Malaysia yang tidak mempunyai akses kepada maklumat teknikal yang sama daripada anggaran 500 pusat servis bertauliah.

Kami menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mempertimbangkan dengan serius cadangan menjadikan suatu mandatori bagi perkongsian servis kenderaan bermotor dan maklumat pembaikan dengan bengkel bebas.

PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP)
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini