Sedih nasib pekerja - Utusan Malaysia

Sedih nasib pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SEJAK Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara setahun lalu, rakyat semakin kecewa dengan prestasi kerajaan baharu yang sering memungkiri janji, membuat pusingan U atau mengeluarkan kenyataan bercanggah yang mewujudkan kekeliruan.

Antara janji yang gagal dilaksanakan adalah melaksanakan gaji minimum RM1,500 sebulan dan mewujudkan sejuta pekerjaan yang pernah dijaja sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedangkan perkara itu tidak seharusnya dimungkiri kerana boleh memberi impak positif secara terus kepada rakyat.

Sebelum ini, MCA dan Barisan Nasional (BN) pernah menyifatkan manifesto PRU-14 PH sebagai tidak logik dan sukar dilaksanakan dan telah mendesak kerajaan baharu itu menjelaskan bagaimana mereka berharap untuk menunaikan kesemua janji mereka. Namun, persoalan itu tidak diendahkan dan sekarang rakyatlah yang menderita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih mengecewakan lagi, ada kepemimpinan kanan kerajaan PH sanggup menyeru rakyat supaya tidak terlalu memilih kerja sambil menyatakan “gaji rendah lebih baik daripada menganggur”. Malah, pemimpin itu juga sanggup menyifatkan kos sara hidup tinggi sekarang berpunca daripada kenaikan gaji.

Baru-baru ini, dilaporkan kerajaan PH bercadang menghantar pekerja-pekerja kolar biru Malaysia untuk bekerja dalam sektor perkilangan di luar negara. Bukankah lebih baik jika mereka diberi kerja dalam negara dengan gaji yang setimpal?

Keputusan untuk menghantar pekerja-pekerja kita ke negara lain akan meningkatkan kebergantungan Malaysia ke atas buruh asing dan bakal menyumbang kepada fenomena brain drain.

Dengan ini, kerajaan PH digesa menepati janji-janji mereka. Janganlah kita kehilangan rakyat kepada negara lain. Pelaksanaan gaji minimum sudah pasti akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat kerja-kerja kotor, berbahaya dan sukar (3D) yang kini dimonopoli pekerja asing.

Kerajaan PH juga disaran mengambil langkah memperkukuhkan ekonomi negara dengan meningkatkan keyakinan pelabur asing melalui dasar-dasar ekonomi mampan. Ini secara langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan gaji pekerja.

Tumpuan juga harus diberikan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara dan prestasi ringgit yang semakin merudum sejak pertukaran kerajaan.

MIKE CHONG YEW CHUAN
Jurucakap MCA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini