Iran musnah jika perang – Trump - Utusan Malaysia

Iran musnah jika perang – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 20 Mei – Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran keras terhadap Iran dengan menyatakan negara itu akan ‘musnah’ sekiranya konflik tercetus antara kedua-dua negara.

Lapor BBC, amaran Trump itu disuarakan beliau selepas beberapa kali menolak sebarang kemungkinan tercetus­nya konflik ketenteraan sebelum ini.

“Jika Iran mahu bertempur, ini akan menandakan pengakhiran rasmi bagi Iran. Jangan mengancam AS lagi!” tegas Trump menerusi Twitter semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

AS turut dilapor menghantar kapal perang dan pesawat tambahan sejak beberapa hari lalu serta merancang mengerah 120,000 tentera ke Asia Barat susulan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.

Hubungan AS dan Iran kembali tegang tahun lalu selepas Trump bertindak menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 serta mengenakan sekatan baharu terhadap Teheran.

Dalam pada itu, kakita­ngan diplomatik AS diarahkan untuk meninggalkan Iraq dan tentera AS telah meningkatkan tahap ancaman di rantau terbabit selepas mendapat maklumat perisikan berkaitan pasukan yang disokong oleh Iran.

Tentera Jerman dan Belanda turut menangguhkan program latihan ketenteraan mereka di Iran.

Dalam perkembangan lain, Arab Saudi mendakwa Iran melancarkan serangan dron terhadap saluran paip minyak mentah pada Jumaat lalu.

Arab Saudi mendakwa kumpulan pemberontak Houthi menjalankan serangan selepas menerima arahan daripada Iran namun Teheran menafikan dakwaan terbabit. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini