KUALA LUMPUR 20 Mei – Hasil perbincangan tertutup antara Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dan persatuan penjaja serta peniaga Bazar Ramadan Desa Pandan di sini hari ini telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kemelut bazar berkenaan.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Abdullah berkata, melalui perbincangan itu pihaknya bersetuju untuk membuka laluan kepada pengunjung ke lokasi peniaga yang berdaftar secara dalam talian.
“Tidak ada lagi sekatan dilakukan dan semua peniaga boleh berniaga di bazar ini. Kami sudah memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggabungkan khemah antara peniaga persatuan dan yang berdaftar secara dalam talian.
“Insya Allah, tahun depan kita akan duduk dan memberi pandangan bersama dengan DBKL supaya dapat merancang operasi bazar Ramadan di sini lebih awal dan teratur,” katanya dalam sidang akhbar berhubung kemelut peniaga bazar Ramadan Desa Pandan di sini hari ini.
Jelasnya, pihaknya membuka bazar Ramadan di tapak tradisi itu selepas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan membuat keputusan untuk meluluskan tapak tersebut untuk diberi kepada persatuan.
“Jadi, memang ada berlaku sedikit masalah pertindihan tapi boleh diselesaikan melalui perundingan sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Persatuan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Cawangan Kampung Pandan, Mohd. Sharif Hashim berkata, pihaknya akan memberi kerjasama untuk kebaikan peniaga yang berdaftar secara dalam talian.
“Kami tidak bergaduh dengan peniaga dalam talian namun terpulang kepada pengurusan DBKL untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.
Pada 17 Mei lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan lebih 80 peniaga Bazar Ramadan Desa Pandan, di sini mengalami kerugian teruk sejak hari pertama perniagaan beroperasi.
Ini berikutan lokasi yang disediakan tidak strategik dan mendakwa dikhianati pihak berkuasa tempatan itu. – UTUSAN ONLINE











