KUALA LUMPUR 20 Mei – Polis memberi tumpuan terhadap dua kawasan panas yang sering berlaku kemalangan di bahagian ini menerusi Kempen Keselamatan sempena Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak di Sarawak.
Memetik laporan akhbar Suara Sarawak, Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitenden Awang Arfian Awang Bujang berkata, langkah itu bertujuan memastikan kelancaran lalu lintas selain mengurangkan jumlah kemalangan sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, lokasi terbabit ialah di kilometer (km) 421 hingga km 431 Jalan Sarikei Betong yang bermula dari Sebangkoi hingga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh.
“Selain itu laluan di km 439 hingga km448 Jalan Sarikei Betong dari Simpang Bulat hingga Simpang Pakan juga sering berlaku kemalangan. Kita juga mengenalpasti enam lagi kawasan lain iaitu, Jalan Bintangor Sarikei, Bintangor Sibu, Jalan Tulai Narasit, Jalan Skim B Pasi, Jalan Selidap dan Jalan Bintangor Gemuan.
“Kita berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi segala peraturan lalu lintas, jangan memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan merehatkan diri jika mengantuk,”katanyadalam sidang media selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri dan Gawai Dayak di sini, semalam.
Dalam pada itu, Awang Arfian memberitahu, bahagian Sarikei mencatatkan 18 kes kemalangan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun lalu, 15 kes melibatkan kemalangan rosak manakala satu kemalangan ringan.
Sebanyak 350 bahan kempen termasuk risalah keselamatan diedarkan kepada pengguna dalam program anjuran Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Peringkat Bahagian dengan kerjasama Lebuhraya Borneo Utara (LBU) dan Pan Borneo. – UTUSAN ONLINE











