Matrikulasi perlu dikekalkan - NC UiTM - Utusan Malaysia

Matrikulasi perlu dikekalkan – NC UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 20 Mei – Matrikulasi yang sengaja dijadikan isu politik oleh kelompok politikus tertentu perlu dikekalkan demi keadilan sosial khususnya dalam jurusan sains kerana ketika ini bumiputera masih ketinggalan jauh dalam bidang tersebut.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, isu matrikulasi sebenarnya tidak patut dipolitikkan dan dilihat dari sudut perkauman sempit semata-mata sedangkan matlamatnya adalah bagi mewujudkan keadilan sosial.

Tegas Mohd. Azraai, sebagai contoh, dalam bidang perubatan, mengikut sumber Majlis Perubatan Malaysia pada tahun lalu, hanya terdapat 24,891 masyarakat bumiputera berbanding dengan 48,228 kaum lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitu juga halnya dalam bidang kejuruteraan jelas Mohd. Azraai, di mana mengikut sumber Lembaga Jurutera Malaysia 2017, hanya terdapat 36,024 bumiputera berbanding 101,478 kaum lain yang terlibat dalam bidang tersebut.

“Jarak jurang ini perlu dirapatkan demi mewujudkan keharmonian agar keresahan dan kesangsian dalam masyarakat dapat dibendung.

“Oleh itu kewujudan program matrikulasi yang memberi peluang kepada pelajar tidak wajar dilihat semata-mata melalui kaca mata perkauman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DAP sebelum ini mengkritik hebat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam isu matrikulasi dan selepas itu beberapa pemimpin MCA dan Gerakan turut berpadu suara dengan DAP dalam memberi tekanan kepada Maszlee.

Dalam pada itu, Mohd. Azraai berkata, semua pihak sepatutnya memberi sokongan kepada Maszlee berhubung langkah kerajaan meningkatkan bilangan pelajar ke program matrikulasi mengikut nisbah kaum dan bukan sebaliknya.

Jelasnya, jika sikap prejudis itu berlanjutan, ia menghabiskan masa, usaha dan tenaga sehingga menjejaskan usaha kerajaan yang untuk mewujudkan keadilan sosial demi Malaysia baharu.

“Seharusnya golongan yang mempersoalkan kewajaran nisbah pelajar perlu melihat agenda negara yang lebih besar dari hanya menjadikan ia sebagai isu perkauman sempit,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini