Polis bongkar taktik baharu seludup mercun melalui tasik - Utusan Malaysia

Polis bongkar taktik baharu seludup mercun melalui tasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP 19 Mei – Polis berjaya mematahkan satu sindiket menyeludup mercun dan bunga api dari negara jiran melalui jalan air apabila merampas pelbagai jenis bahan itu yang bernilai RM70,000 di Tasik Ah Ning, Padang Sanai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, sepasukan polis yang melakukan rondaan dan risikan di sempadan menemukan sebuah kenderaan berada dalam keadaan mencurigakan di tebing tasik yang menjadi tempat pendaratan nelayan tempatan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, siasatan pihaknya mendapati, taktik itu merupakan modus operandi terbaharu penyeludup selepas tidak berjaya melepasi kawalan ketat pihak berkuasa di laluan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu juga sanggup membina laluan darat yang membolehkan kenderaan mereka masuk sehingga ke tebing tasik semata-mata untuk menyeludup masuk bahan itu.

“Hasil siasatan mendapati, mercun dan bunga api itu dipercayai dibawa masuk dari Sebayoi, Thailand menggunakan jalan air untuk ke Tasik Ah Ning, di sini sebelum diambil penyeludup dan diedarkan ke pasaran tempatan.

“Dalam operasi itu, kita turut memberkas seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang memandu sebuah pacuan empat roda berdekatan tebing tasik terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noh berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan jenis Mitsubishi itu menemukan sebanyak 20 kotak yang mengandungi mercun dan bunga api serta 16 kotak lagi yang berada di atas tanah pada jarak tiga meter daripada kereta itu.

Ujar beliau, jumlah keseluruhan rampasan bunga api dan mercun itu mencecah RM70,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini