Suspek bakar kereta Mufti Perlis ditahan, dua lagi diburu - Utusan Malaysia

Suspek bakar kereta Mufti Perlis ditahan, dua lagi diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada Mac lalu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sebuah rumah di Kampung Jelempok, Arau dekat sini kira-kira pukul 2.45 pagi semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Mushar Noor Mohd. berkata, hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai ‘Mee Tomoi’ yang tinggal di Kuala Perlis dengan upah RM500.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek yang tidak bekerja itu mendakwa diupah oleh seorang lelaki lain berusia 33 tahun dan usaha untuk mengesan kedua-dua suspek yang masih bebas sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya merampas telefon bimbit jenis Nokia milik suspek.

“Suspek didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dadah, ugutan jenayah dan tipu,” ujarnya.

Menurutnya, seramai lima individu disyaki terlibat merancang kejadian tersebut yang mana tiga daripadanya telah dikenal pasti. 

“Motif kejadian dipercayai kerana isu pemecatan imam,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini