JEMPOL 18 Mei – Seorang wanita terkejut apabila terdengar bunyi letupan dari rumah jirannya yang terbakar di Felda Raja Alias 1, dekat sini, malam ini.
Lyzawati Shafie, 38, yang sedang menonton televisyen bergegas keluar dari rumah dan melihat api dari dapur rumah jirannya itu.
Menurutnya, jiran tersebut sudah dua minggu tiada di rumah kerana berada di kediaman saudaranya di Nilai.
“Saya terus menghubungi pihak bomba dan sebaik sahaja bomba tiba api telah marak,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Sementara itu, Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd. Fahmi Abdullah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.42 malam dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
“Operasi memadamkan kebakatan tamat pada pukul 8.50 malam dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada penghuni di dalam rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











