TURIN 18 Mei – Air mata mengiringi sidang akhbar perpisahan Massimiliano Allegri hari ini selepas pengendali kelahiran Itali itu mendedahkan, dia terpaksa meninggalkan Juventus dengan hati yang berat kerana tidak lagi diperlukan.
Allegri, 51, mengharungi lima musim yang cemerlang di Turin dengan membawa Juventus merangkul 11 trofi, termasuk lima gelaran Serie A secara berturut-turut.
Bagaimanapun kegagalannya membawa Old Lady mendakap kejuaraan Liga Juara-Juara difahamkan antara punca dia terpaksa meninggalkan gergasi bola sepak Itali itu.
“Kami melihat masa depan Juventus dan kelab memutuskan untuk bergerak ke arah berbeza tahun depan, iaitu tanpa saya.
“Bagaimanapun ia tidak merubah apa-apa (perasaan terhadap Juventus). Kami telah membangun bersama dan ini adalah masa paling tepat untuk meninggalkan kelab iaitu selepas memberikan kejayaan sebaik mungkin,” kata Allegri dalam sidang akhbar di Stadium Allianz.
Selain menghadiahkan lima kejuaraan Serie A, Allegri turut membantu Juventus menjulang empat kejuaraan Coppa Italia sejak menggantikan Antonio Conte pada 2014, selain melayakkan diri dalam dua final Liga Juara-Juara.
“Dalam kehidupan profesional, ada masanya kami terpaksa berpisah,” kata Allegri lagi. – AGENSI











