MADRID 18 Mei – Laungan ‘keluar, keluar, keluar’ mengiringi penampilan terakhir Antoine Griezmann bersama Atletico Madrid ketika pasukan itu seri 2-2 dengan Levante dalam saingan La Liga, hari ini.
Penyerang Perancis itu diejek sepanjang perlawanan di Stadium City of Valencia, malah dia gagal menghasilkan gol terakhirnya bersama kelab Madrid tersebut sebelum dijangka menyertai Barcelona musim depan.
Jaringan Sergio Camello dan Rodrigo memastikan Atletico menutup kempen La Liga dengan seri dan mengesahkan kedudukan selaku naib juara di belakang Barcelona.
Sepanjang lima musim yang cemerlang bersama Atletico, 28, telah meledak 133 gol daripada 257 perlawanan (semua pertandingan).
“Saya mahu mengucapkan terima kasih dan memberi penghormatan kepada pejuang kami yang akan pergi.
“Ia perkara biasa buat pemain untuk datang dan pergi, tetapi kami bangga mereka pernah bersama-sama pasukan ini,” kata pengendali Atletico, Diego Simeone.
Selain Griezmann, perlawanan menentang Levante juga adalah penampilan terakhir buat pertahanan veteran Uruguay, Diego Godin.
Selepas sembilan tahun menyarung jersi Atletico dan membuat 387 penampilan, kapten Godin, 34, dikatakan akan beralih ke saingan Serie A di Itali dan dikaitkan dengan Inter Milan. – AGENSI











