KUALA LUMPUR 18 Mei – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) merancang meneruskan usaha mengumpul dana bagi membantu bekas atlet dengan menjual jongkong emas (gold bar) yang memaparkan wajah atlet-atlet negara.
Pengurus Operasi Yakeb, Aminuddin Mohd. Nasir berkata, perkara itu masih dibincangkan, dan pihaknya perlu sentiasa mencari idea baharu untuk menjana pendapatan kerana tidak boleh sentiasa bergantung kepada bantuan kerajaan, selain jumlah ahli yang semakin bertambah.
“Kita memerlukan lebih kurang RM2 juta setahun untuk membantu menjaga kebajikan mereka yang kini mencecah 3,000 bekas atlet, di mana kos rawatan semakin hari semakin meningkat.
“Selain jualan jongkong emas, kita juga rancang mengadakan acara larian dan aktiviti lain, untuk mencari dana. Pengerusi baharu kita, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed agak ‘ambitious’ untuk bergerak pantas,” katanya ketika ditemui dalam program berbuka puasa bersama bekas atlet dan anak yatim di KFC Pinggiran Zaaba di sini, hari ini.
Yakeb sebelum ini mengumumkan ‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ selepas mendapat kerjasama daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), yang bersetuju membenarkan tabung itu diletakkan di restoran-restoran ahlinya di seluruh negara bagi mendapatkan sumbangan orang ramai.
Aminuddin berkata, pihaknya sedang merencanakan strategi dari segi logistik, untuk menghantar dan mengambil balik tabung itu, selain berhasrat meminta bantuan pengusaha stesen minyak agar turut memberi ruang meletak tabung tersebut.
Terdahulu, 10 bekas atlet dan 36 anak yatim serta miskin menerima bantuan dan juadah berbuka puasa pada majlis dianjurkan Sportsflex Media (amp) Event Sdn Bhd, Unit Berita Sukan TV3 dan KFC itu dengan kerjasama Yakeb, Yakult (M) Sdn Bhd. dan Puma Malaysia Sdn. Bhd.
Sementara itu, bekas atlet berbasikal negara, Yusof Udin berkata, beliau dan rakan-rakannya gembira jasa mereka masih dikenang.
“Kami harus berterima kasih kepada Yakeb, kerana banyak membantu dari segi perubatan dan sara hidup. Yakeb satu-satunya tempat kami mengadu. Bekas atlet ini macam perwira negara, kami berjuang sehingga ke titisan tenaga yang terakhir, bagi mencapai kejayaan buat negara,” katanya. – BERNAMA











