“SAGU gula Melaka. Juadah berbuka puasa hari ini. Entah apalah rasanya ye.” – Itu hantaran untuk gambar makanan itu dalam akaun Instagram yang dimuatnaik oleh seorang kawan. Seorang lagi kawan pula memuat naik gambar pengat pisang. Tulisnya – “Dalam sibuk-sibuk bekerja, masih sempat memasak. Alhamdullilah.”
Dan tak sampai beberapa minit ramailah yang like gambar makanan itu. Gambar makanan memang cepat menarik perhatian ramai selain gambar perempuan cantik, lebih-lebih lagi dalam tempoh tak sampai satu jam lagi untuk berbuka puasa. Dugaan makin hebat, orang kata. Apatah lagi bila macam dah tak ada kerja lain pada waktu-waktu begitu, asyik membelek telefon pintar, ramai betul yang menghantar gambar juadah berbuka dalam laman sosial.
Dalam hati saya berkata – Wah, sedapnya. Hantarlah ke rumah saya atau jiran. Tak akan hanya hantar gambar dan main tukar-tukar juadah berbuka dalam media sosial saja?
Memang suasana berpuasa pada zaman sekarang ini berbeza betul dengan zaman dahulu. Dahulu walaupun dilahirkan dan menetap di Kuala Lumpur, saya tetap dapat melalui pengalaman jiran-jiran bertukar-tukar juadah atau memberi juadah tanpa harapkan balasan ketika bulan Ramadan. Ibu saya masak satu lauk saja, tetapi menjelang Maghrib sudah penuh satu meja. Bukan beli. Dulu mana ada bazar Ramadan. Semuanya pemberian jiran. Kalau di kampung, agaknya tentu lebih hebat lagi.
Tetapi itulah, amalan sebegitu sekarang ini mungkin sukar lagi hendak dilakukan. Tunjuk gambar makanan sajalah melalui media sosial termasuk dalam group WhatsApp keluarga atau rakan-rakan. Sila tengok dan komen saja. Sekadar menayang. Boleh kenyang kot?
Kita sedia memahami zaman sekarang ini, ramai yang sibuk bekerja, tak sempat memasak. Ramai juga tak berbuka puasa di rumah bukan sebab tak suka tetapi lebih kepada bimbang tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Lebih mudah berbuka di restoran atau di hotel berdekatan pejabat.
Pun begitu, ramai juga yang tak kenal jiran sebelah. Buat hal masing-masing. Jadi, macam mana nak bagi juadah? Memang kekoklah kan. Jiran yang tak dikenali pun tentu terpingga-pingga tiba-tiba dapat kuih! Atau tentu juga merasa was-was. Tak pernah bagi, letak apalah dalam makanan ini? Tambahan pula, baru semalam kucingnya membuat `onar’ di kereta jiran itu!
Dalam pada itu. ramai juga yang sempat balik rumah tetapi berbuka seorang. Tidak dengan keluarga kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja, atau lebih mengutamakan berbuka di luar bersama kawan-kawan. Ini jauh sekali dengan amalan dulu, kalau dulu seboleh-bolehnya mahu berbuka puasa di rumah dengan keluarga. Makan ala kadar pun terasa meriah kerana dikelilingi keluarga.
Satu lagi – Status ‘done berbuka’, ‘done tarawih’, ‘done sahur’, ‘done tadarus, ‘done bayar fitrah’! Adakah ini juga sudah termasuk dalam amalan atau orang sekarang suka sangat sebut ‘budaya’ berpuasa masa kini?
Walaupun teknologi memudahkan kita, dan membawa kita beribu-ribu langkah ke hadapan, ia tidak sepatutnya menenggelamkan amalan-amalan yang baik dan menggantikannya pula dengan perbuatan tidak elok seperti menunjuk-nunjuk.
Adakalanya juga kita tidak sedar, gambar yang dimuatnaik seperti menolong orang pun boleh menjebak kita menjadi riak. Memang perbuatan mulia itu boleh mencetuskan inspirasi orang lain untuk melakukan hal yang sama, tetapi apabila terlalu kerap menunjuk dalam media sosial, akhirnya seperti mahu mempromosikan kebaikan diri sendiri pula.
Tidak dinafikan suasana, waktu dan hati orang pun boleh berubah, ikut keadaan dan peredaran masa, tetapi diharapkan amalan-amalan yang baik terus dikekalkan, lebih-lebih lagi apabila ia memberikan kita ganjaran di akhirat kelak.











