Sudah witir ke? - Utusan Malaysia

Sudah witir ke?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA keistimewaan yang hanya ada dalam bulan Ramadan adalah solat sunat tarawih. Tarawih er­tinya beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’.

Solat tarawih adalah ibadat tambahan yang dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Ia satu cara untuk menunjukkan keikhlasan, kebaktian dan ke­taatan kepada Allah SWT. Ia boleh dilakukan bersendirian atau lebih aula (utama) lagi secara berjemaah di masjid atau surau.

Malangnya, masuk hari ke-14 Ramadan senario di kebanyakan masjid dan surau sudah mula lengang. Tidak sepadat atau melimpah dengan jemaah sebagaimana minggu pertama puasa. Ramai yang mula hilang daripada saf-saf masjid dan berpindah ke lokasi lain termasuk pusat beli-belah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengenai menghidupkan malam-malam di dalam Ramadan, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat malam pada bulan Ra­madan kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan gan­jaran yang baik daripada-Nya, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesuai dengan keutamaan solat berjemaah, baginda SAW mengingatkan kita tentang pa­kej hebat kepada sesiapa yang mendirikan solat tersebut secara berjemaah. Ini dijelaskan menerusi sab­da Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang solat malam (tarawih) bersama imam sehingga dia bersurai (selesai solat), akan tertulis untuknya pahala qiam (bersolat) sepanjang satu malam.” (Riwayat Abu Daud)

Realitinya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang hanya solat tarawih sekerat, walaupun rata-rata solat tarawih di Malaysia hanya sekitar 40 minit ke satu jam. Daripada 20 rakaat pula ramai yang pilih solat lapan rakaat. Selepas itu terus balik atau ada yang berbual-bual kosong di beranda masjid.

Mereka tidak menunaikan solat witir bersama imam. Walhal masa tunaikan solat witir tiga rakaat itu tidak sampai 10 minit. Amat rugilah bagi mereka yang melepaskan peluang ini. Ulama menyimpulkan, maksud hingga selesai solat adalah termasuk solat witir.

Hal ini adalah antara perkara yang perlu dibetulkan. Jangan kita jadikan solat tarawih sebagai ritual. Elak jadikan solat tarawih itu sebagai budaya dalam bulan puasa. Sebaliknya, ia adalah antara amalan sunat yang dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Bukan semua kita mampu untuk bangun malam mendirikan qiamullail dengan solat tahajud, taubat, tasbih, hajat dan sebagainya. Oleh itu, ambillah peluang yang disediakan oleh Allah dalam bulan Ramadan ini untuk melipat-gandakan ibadat agar kita menjadi orang yang mendapat pengampunan Allah selepas bulan yang mulia ini.

Bagi yang ingin solat tahajud pada sepertiga malam, tidak ada masalah walaupun sudah melaksanakan solat witir dengan imam. Teruskan solat-solat sunat anda dan tidak perlu lagi mengulang solat witir. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.” (Riwayat Ahmad)

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam kata-kata Jibril Alaihissalam yang mendoakan kerugian besar bagi beberapa golongan, antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rugi besar bagi seseorang yang sempat mema­suki bulan Ramadan, kemudian keluar daripadanya tetapi tidak terampun dosa-dosanya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini