MADRID 17 Mei – Bekas pemain tengah Arsenal, Santi Cazorla menerima perkhabaran paling menggembirakan dalam kariernya apabila dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan Sepanyol buat kali pertama sejak 2015.
Cazorla, 34, yang kini beraksi buat Villarreal sebelum ini sering disisihkan akibat kecederaan, terutama masalah achilles tendon yang menghantuinya selama dua tahun.
Kata Cazorla dia hanya mengetahui tentang panggilan skuad kebangsan daripada rakan-rakan sepasukan selepas mereka menyanyikan namanya ketika sesi latihan.
“Mereka menyanyikan nama saya, saya tidak tahu mengapa. Kemudian semua orang datang mengucapkan tahniah kepada saya,” katanya.
Cazorla turut menyifatkan dirinya sebagai amat bertuah kerana hampir mengumumkan persaraan selepas dihimpit pelbagai isu kecederaan, termasuk menjalani pembedahan lutut, tapak kaki dan buku lali bermula dari 2013.
“Saya tidak pernah terfikir akan kembali dipanggil, selama ini saya fikir peluang tidak mungkin akan datang lagi selepas semua yang saya lalui,” ujarnya.
Cazorla akan menguatkan cabaran Sepanyol untuk menghadapi dua aksi kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) menentang Kepulauan Faroe (7 Jun) dan Sweden pada 10 Jun.
Sementara itu, Sepanyol turut mengumumkan jurulatih mereka, Luis Enrique tidak dapat membimbing pasukan dalam kedua-dua perlawanan tersebut kerana masalah peribadi. – AGENSI
SKUAD SEPANYOL
PENJAGA GOL: David de Gea (Manchester United), Kepa Arrizabalaga (Chelsea) and Pau Lopez (Betis)
PERTAHANAN : Dani Carvajal (Real Madrid), Sergio Ramos (Real Madrid), Mario Hermoso (Espanyol), Diego Llorente (Real Sociedad), Inigo Martinez (Athletic Bilbao), Jordi Alba (Barcelona), Sergi Roberto (Barcelona), Jose Gaya (Valencia), Jesus Navas (Sevilla)
TENGAH : Sergio Busquets (Barcelona), Rodrigo Hernandez (Atletico Madrid), Dani Parejo (Valencia), Isco (Real Madrid), Fabian Ruiz (Napoli), Santi Cazorla (Villarreal)
SERANGAN : Mikel Oyarzabal (Real Sociedad), Rodrigo Moreno (Valencia), Marco Asensio (Real Madrid), Iago Aspas (Celta), Alvaro Morata (Atletico Madrid)











