Kelapa ganti sawit, getah - Utusan Malaysia

Kelapa ganti sawit, getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 17 Mei – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bakal membuat pembaharuan baharu dalam sektor pertanian dengan menukar tanaman kelapa sawit dan getah kepada pokok kelapa bagi mempelbagaikan sumber pendapatan para peserta.

Pengerusi Kesedar, Datuk Sazmi Miah berkata, projek perintis dijangka dimulakan pada September dan Oktober depan dengan melibatkan kawasan seluas 600 hektar milik Kesedar.

Katanya, alternatif itu dilakukan oleh pihak Kesedar supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kelapa sawit dan getah yang ketika ini mengalami kejatuhan harga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tanaman kelapa yang sebelum ini lebih dilihat sebagai tanaman belakang rumah dan tidak pernah dilihat sebagai tanaman komersial.

“Sekarang ini kita lebih bergantung kepada kelapa import dari Indonesia dan Filipina. Sekiranya kita memberi tumpuan kepada penanaman kelapa sudah pasti dapat mengurangkan kebergantungan kepada kelapa import,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Iftar Kesedar Bersama Media di Hotel Perdana di sini semalam.

Yang turut hadir Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Azran Fitri Abdul Rahim.

Sementara itu Sazmi berkata, pihak Kesedar akan melihat projek tersebut dalam skop lebih luas termasuk pengkomersialan.

Malah katanya, difahamkan pendapatan pengusaha kelapa secara kecil-kecilan membabitkan tanaman seluas tiga hektar mampu mencecah ribuan ringgit terutama di bulan Ramadan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemberian bonus kepada 2,200 keluarga peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Gua Musang belum dimuktamadkan kerana keadaan ekonomi sekarang serta harga sawit yang tidak menentu.

Selain itu kata beliau, pihaknya sedang berusaha meyakinkan kerajaan Pas Kelantan supaya mewartakan Machang dan sebahagian Tanah Merah sebagai kawasan operasi Kesedar bagi membolehkan pelbagai inisiatif dilakukan bagi membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini