MARAN – Seorang kanak-kanak terbunuh manakala bapanya parah apabila motosikal mereka dirempuh oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 33 Jalan Temerloh – Bandar Tun Abdul Razak, Jengka hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy, 8, dari Felda Jengka 18, di sini meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Suhairy Samsudin, 43, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, kejadian berlaku apabila pemandu SUV jenis Honda CRV terbabit merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.
“Pemandu SUV berkenaan yang datang dari arah Temerloh menghala ke Jengka memberitahu bahawa dia tidak nampak motosikal terbabit kerana keadaan jalan berkabus dan gelap.
“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar tercampak ke tengah jalan,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan bedah siasat dilakukan di Hospital Jengka, di sini manakala bapanya yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan.
“Pemandu SUV bersama empat lagi penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menyeru penunggang motosikal agar memakai topi keledar semasa menunggang sebagai langkah keselamatan. – K! ONLINE











