MELAKA – Seorang bekas banduan berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Taman Krubong Permai, Tanjung Minyak pada bulan lalu.
Tertuduh, A. Ganesh, 45, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian isterinya, S. Vijeyanthy, 39, pada pukul 5.30 pagi, di bilik utama sebuah rumah di Taman Krubong Permai, Tanjung Minyak pada 29 April lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 19 Julai untuk sebulan semula kes.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Vijeyanthy melecur 70 peratus di bahagian badan selepas dibakar Ganesh gara-gara mengesyakinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dalam kejadian pada 29 April lalu.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama tujuh hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka pada 5 Mei lalu.
Suspek ditahan polis pada hari sama kejadian dan siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut baru dibebaskan dari Penjara Sungai Udang pada 17 April atas kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya itu.
Tertuduh juga mempunyai enam rekod jenayah termasuk dua kes melibatkan kesalahan keganasan rumah tangga. – K! ONLINE











