KUALA LUMPUR 17 Mei – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama tiga hari ke negara-negara di Amerika Selatan minggu depan.
Misi itu meliputi Santiago, Chile (20 Mei), Buenos Aires, Argentina (21 Mei) serta Brasilia dan Sao Paulo, Brazil (22-24 Mei).
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Leiking akan disertai oleh pegawai kementerian, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia serta wakil syarikat-syarikat Malaysia .
Sambil memanfaatkan kehadirannya di rantau ini pada Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan di Valparaiso, Chile, dari 17-18 Mei, Leiking akan bertemu wakil kerajaan, dewan perniagaan dan persatuan serta syarikat di Chile, Argentina dan Brazil, bagi meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dengan negara-negara berkenaan. – BERNAMA











