SANDAKAN 17 Mei – Sebanyak 357 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah akan bertugas sepanjang bulan Ramadan sehingga Aidilfitri tahun ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, peranan pihaknya dalam penguatkuasaan undang-undang maritim dianggap lebih berat berbanding wilayah PPM lain.
“Saya berharap mereka yang bertugas pada hari lebaran dapat bergembira bersama rakan seperjuangan dalam penugasan yang juga mengorbankan masa untuk berjauhan daripada keluarga tercinta,” katanya kepada pemberita selepas program berbuka puasa di kapal PPM Sandakan berdekatan Pulau Bai, Sabah semalam.
Sementara itu, Lans Koperal Mohd. Farid Abdul Rahman, 26, dari Teluk Intan, Perak, tahun ini merupakan kali ketiga beliau menyambut Aidilfitri ketika bertugas di perairan.
“Saya berterima kasih kepada isteri dan keluarga saya kerana memahami kerjaya saya untuk menjaga perairan negara.
“Sememangnya bertugas pada hari raya dan berjauhan daripada keluarga amat menyedihkan, namun saya bersyukur mempunyai rakan-rakan dalam PPM,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Risik dan Operasi PPM Sabah Deputi Superintenden Abdul Rahman Mat Hassan berkata, kenaikan pangkat kepada Superintenden dan akan memikul tugas baharu sebagai Timbalan Komander PPM Wilayah 5 Sarawak tidak memberikannya peluang untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga.
“Saya mengucapkan selamat bertugas kepada semua pegawai dan anggota PPM, khususnya di Wilayah 4 Sabah, lebih-lebih lagi yang menjaga perairan di ESSZone (Zon Selamat Timur Sabah).
“Kita sedia maklum pernah berlaku insiden penculikan di perairan Sabah, namun sejak penubuhan ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah), kawalan keselamatan di perairan dimantapkan lagi dengan gabungan PPM, Pasukan Gerakan Am, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Angkatan Tugas Bersama 2,” jelasnya. – BERNAMA











