LONDON 17 Mei – Semua pihak harus menghormati keputusan Antoine Griezmann untuk meninggalkan Atletico Madrid, demikian tegas Alvaro Morata.
Dalam masa sama pemain Chelsea yang dipinjamkan ke Atletico, Morata turut menyeru peminat agar menghargai sumbangan yang telah Griezmann berikan kepada Atletico sepanjang bersama sejak 2014.
Pada minggu lalu, Griezmann mengumumkan bahawa dia berhasrat meninggalkan Atletico biarpun telah menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2023 pada tahun lalu.
“Ia satu keputusan yang perlu kita hormati dalam masa sama kita perlu berterima kasih kepadanya atas sumbangan besar buat kelab ini.
“Biarpun kami semua berharap dia akan kekal tetapi dia sudah tekad membuat keputusan berkenaan.
“Ya saya akui setiap perubahan sentiasa sukar tetapi kami perlu berusaha menjadi pasukan yang lebih baik pada musim depan dalam misi merebut semua gelaran,” kata Morata. – AGENSI











