GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Myanmar maut dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hancur apabila lori yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Ladang Aring 5, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, mangsa yang belum diketahui identiti berusia lingkungan 30 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan berat jenis Volvo itu dipercayai telah tergelincir ke tebing jalan akibat tanah lembut sebelum terbalik ke arah kanan jalan.
Katanya, ketika kejadian mangsa memandu lori yang tidak mempunyai cukai jalan dan insuran perlindungan itu seorang diri.
“Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri menyebabkan kenderaan berat itu terbalik lalu menghempap tubuhnya.
“Mayat mangsa yang tersepit di bawah kepala lori itu dibawa keluar oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.25 malam.
Katanya, 10 anggota bersama dua jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hasri Hussin telah bergegas ke lokasi.
“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit berjaya dilakukan dalam masa hampir tiga jam apabila operasi tamat pada pukul 3.06 pagi.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE











