Kanser paru-paru, tidak ada tanda, membimbangkan - Utusan Malaysia

Kanser paru-paru, tidak ada tanda, membimbangkan

TIDAK memiliki simptom awal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSER paru-paru merupakan kanser ketiga tertinggi dikesan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ia turut dianggap sebagai kanser paling agresif. Tidak memiliki simptom awal, tetapi lebih 90 peratus daripada pesakit mengesan kanser pada tahap ketiga atau empat.

Pakar bedah kardiotorasik, Dr. Anand Sachithanandan berkata, pada tahap berkenaan, sel kanser biasanya sudah pun merebak ke bahagian lain yang kemudiannya menyebabkan komplikasi lain.

Katanya, umumnya tidak mudah mengenal pasti kanser terutamanya pada peringkat awal kerana simptomnya sangat biasa, iaitu seperti batuk yang berterusan, sakit dada, berat badan yang menyusut termasuk sesak nafas.

“Disebabkan tidak ada simptom jelaslah maka ia agak menakutkan. Malah ramai juga menyangka perokok terdedah dengan kanser paru-paru, sedangkan ia hanyalah tanggapan,” katanya dalam sesi meja bulat media mengenali kanser paru-paru, baru-baru ini menerusi sidang video zoom. Turut serta Pakar Perunding Klinikal Onkologi yang juga pengasas bersama LCNM, Prof. Madya Dr. Tho Lye Mun dan Perunding Klinikal Onkologi, Dr. Malwinder Singh Sandhu.

DR ANAND SACHITHANANDAN

Kempen itu dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM). Ia turut disokong oleh AstraZeneca Malaysia dan Roche Malaysia.
Dr. Anand yang juga pengasas bersama Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) berkata, disebabkan kesukaran mengenali simptom kanser, khususnya pada peringkat awal beliau menyarankan supaya individu sentiasa berwaspada.

Katanya, ramai pesakit dikesan pada tahap serius turut tidak pernah terfikir yang mereka berisiko menghidapi kanser paru-paru.

“Salah tanggapan mengenai kanser paru-paru menyebabkan ramai memandang ringan mengenainya malah ramai pesakit hadir mendapat rawatan menganggap perubahan diri sebagai gaya hidup kurang aktif selain mengalami stres.

“Malah ramai menganggap kanser sebagai satu perkara yang memalukan untuk dibincangkan secara terbuka. Persepsi ini perlu segera diubah demi membina sebuah masyarakat lebih peka terhadap simptom-simptom kanser paru-paru agar diagnosis awal dan rawatan segera boleh dilakukan,” katanya.

Kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau mutasi, membesar dan tumbuh tanpa kawalan. Dalam kebanyakan kes, sel kanser boleh merebak ke organ atau struktur berdekatan dengannya dan seterusnya ke anggota lain seperti nodus limfa, hati, tulang hingga otak dengan keadaan itu dipanggil metastasis.

Mengenai kempen Mengenali Kanser Paru-paru, Dr. Anand berkata, kempen tersebut sebagai satu cara meningkatkan kesedaran selain menggalakkan pesakit, golongan berisiko tinggi dan penjaga untuk berbincang secara terbuka mengenainya.

“Melalui kempen ini, kami berharap lebih banyak perbincangan berlaku antara individu berisiko tinggi dengan pegawai perubatan yang berperanan membantu orang ramai mendapatkan diagnosis awal, sekali gus menjalani rawatan segera,” katanya.

Kempen ini menawarkan kandungan pendidikan mengenai kanser paru-paru dan sokongan untuk mereka yang menghidap kanser menerusi platform media sosial iaitu di Facebook dan Instagram LCNM.

Sokongan emosi
Pengesanan awal memberi impak ketara. Ia membolehkan rawatan tepat pada masanya yang mana pada akhirnya membantu penghidap melambatkan kanser merebak ke organ tubuh lain. Pengurusan cemerlang, membantu pesakit bukan sahaja hidup lebih lama tetapi berkualiti.

DR THO LYE MUN

Memperkasa masyarakat dengan pengetahuan mengenai rawatan dan bagaimana menguruskan kanser antara harapan Dr. Tho Lye Mun daripada kempen berkenaan.
Katanya, rawatan imunoterapi dan terapi sasaran contohnya, menawarkan kesan positif dalam usaha memberikan prognosis dan kualiti kehidupan yang lebih baik khasnya buat pesakit kanser paru-paru.

“Aspek sokongan turut perlu diberi perhatian kerana pemikiran positif membantu perjuangan penghidap melawan kanser,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×