TANJONG KARANG – Polis menahan empat lelaki termasuk pemilik senapang yang melepaskan tembakan ke udara di sebuah kuil di Parit 4 Sungai Burong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, kesemua suspek berusia 36 hingga 72 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah ini.
“Kita turut merampas selaras senapang bersama 17 butir peluru.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dilakukan pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Terdahulu, sebuah video tular memaparkan beberapa individu melepaskan 15 hingga 20 das tembakan ke udara menggunakan sepucuk senapang patah.
Kejadian berlaku dalam satu upacara di Kuil Sri Pachai Marathu Muniandy, Parit 4, Sungai Burong, Tg. Karang dekat sini pada Ahad lalu. – K! ONLINE











