JOHOR BAHRU 16 Mei – Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor (PGSMNJ) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 15 keluarga asnaf di sekitar bandaraya ini hari ini.
Para penerima tersebut menerima sumbangan menerusi program Santuni Asnaf 2019 yang dilakukan dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Daerah Johor Bahru.
Pengerusi PGSMNJ, Yunos Ismail berkata, daripada 15 keluarga, 11 daripadanya merupakan penduduk di Flat Larkin di sini manakala empat yang lain di sekitar kawasan Pasir Gudang.
“Kesemua keluarga terbabit diziarahi dan diserahkan bantuan berupa barangan keperluan harian seperti minyak masak, beras dan biskut serta wang sumbangan.
“Barangan keperluan dan wang sumbangan itu merupakan hasil infaq daripada para peguam syarie di seluruh negeri ini dan pihak Puspanita,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Yunos berkata, program atas inisiatif Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita PGSMNJ itu julung kali diadakan dan diharapkan dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan ketika Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, pihaknya sehubungan itu merancang meneruskan program sama pada masa hadapan.
“Tahniah kepada Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita PGSMNJ atas inisiatif program ini (Santuni Asnaf 2019) walaupun dilakukan dalam tempoh yang singkat.
“Alhamdulilah program ini berjaya dilaksanakan dan diserahkan kepada penerimanya hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











