KUALA LUMPUR – Seramai 500 orang anak-anak yatim dari 10 buah rumah kebajikan terpilih di ibu negara diraikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, majlis yang diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhwah di antara PPZ-MAIWP dan McDonald’s Malaysia selain membantu insan yang kurang bernasib baik dengan budaya bersedekah.
“Umat Islam digalakkan untuk bersedekah dan seboleh-bolehnya menambah amal dan ilmu terutamanya pada bulan Ramadan.
“McDonald’s Malaysia yang juga merupakan pembayar zakat perniagaan di PPZ-MAIWP dengan menerima skim wakalah dengan pembayar zakat akan mengagihkan sendiri kepada asnaf yang layak,” katanya pada Majlis Iftar Bersama Anak Yatim di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju dekat sini hari ini.
Pada majlis tersebut, anak-anak yatim turut menerima duit raya dan cenderahati daripada pihak penganjur.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengurus Besar, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia, Nasri Nordin. – K! ONLINE











