PULAU PINANG 16 Mei – Persatuan Pekerja-Pekerja Islam Golden Sands Shangri La Hotel meneruskan tradisi sempena Ramadan dengan bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada kakitangan serta orang ramai di kawasan Batu Feringghi, di sini hari ini.
Selain itu, bubur lambuk resipi istimewa daripada kakitangan Hotel Golden Sands Shangri La juga akan diagihkan kepada ahli kariah Masjid Lama Tanjung Huma dan Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi.
Naib Yang Dipertua, Persatuan Pekerja-Pekerja Islam Golden Sands Shangri La Hotel, Rosli Awang Hat berkata, lebih 200 bekas bubur lambuk ayam dan daging akan diagihkan kepada kakitangan hotel, pihak masjid serta orang ramai sempena program itu.
“Bubur lambuk ini dimasak secara gotong-royong oleh ahli persatuan ini dan dilakukan secara bergilir-gilir kerana ada antara ahli yang bekerja.
“Bila tiba waktu rehat, ahli persatuan akan datang membantu dan tugas memasak menjadi lebih pantas dengan bergotong-royong,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rosli, program memasak bubur lambuk oleh ahli persatuan itu telah dimulakan sejak 1980-an dan diteruskan setiap tahun bagi memeriahkan serta mengambil keberkatan bersedekah pada Ramadan.
“Sebelum ini kami memasak bubur lambuk di dalam dapur hotel sahaja, cuma pada tahun ini kelainan dibuat dengan adakan aktiviti ini di pekarangan Masjid Lama Tanjung Huma.
“Selain memasak bubur lambuk, pada Ramadan ini juga Persatuan Pekerja-Pekerja Islam Golden Sands Shangri La Hotel turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, menziarahi bekas pekerja dan ahli persatuan yang uzur,” katanya. – UTUSAN ONLINE











