Dua lelaki ditahan, dadah bernilai RM609,515 dirampas - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan, dadah bernilai RM609,515 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mei – Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM609,515 menerusi dua serbuan di sekitar ibu negara dan Lembah Klang, tiga hari lalu.

Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, dua suspek berusia 25 dan 37 tahun itu didapati aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah dengan menyasarkan pasaran di sekitar ibu negara dan Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, suspek pertama berusia 25 tahun ditahan di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Jalan Metro Prima, Taman Kepong, di sini pada pukul 6 petang dan hasil pemeriksaan kereta suspek telah menemukan sebanyak 5,000 pil erimin yang disimpan dalam beg plastik hitam.

“Setelah disoal siasat, suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Jalan Robertson, di sini dan menjumpai dadah jenis ketamin seberat 64.8 gram dalam rumah tersebut.

“Kita turut menyita barangan milik suspek bernilai RM32,350 antaranya wang tunai, jam tangan berjenama, cincin dan gelang emas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Adnan memaklumkan, suspek kedua berusia 37 tahun ditahan pada pukul 8.20 malam di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan SS20/27, Damansara Jaya, dekat sini.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta Mercedes-Benz milik suspek yang diletakkan di tingkat B3 pasar raya tersebut telah menemukan 34,750 biji pil erimin 5.

“Selepas proses soal siasat, pasukan polis kemudian pergi ke sebuah unit kondominium di kawasan sama pada pukul 2.15 pagi dan hasil pemeriksaan, kita telah merampas 100 biji pil ekstasi dan 50 biji pil kuda yang disimpan dalam rumah tersebut,” ujarnya.

Tambah Adnan, kedua-dua suspek kini dalam tahanan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini