KUALA LUMPUR 16 Mei – Sebanyak 60 keluarga miskin dan 30 anak-anak yatim dari Rumah Siraman Kasih menerima sumbangan daripada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.
Bantuan bernilai RM7,000 itu diperoleh hasil kutipan daripada Kelab Sukan dan Rekreasi IWK dan Surau Al-Hidayah dan diberikan dalam bentuk wang tunai, makanan dan barangan sebagai kepeluan menyambut Aidilfitri.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam satu Majlis Iftar Bersama Warga Pantai Dalam dan Sumbangan Khas Kepada Anak Yatim dan Asnaf di Dewan Komuniti Eco Park, di sini hari ini.
Pengerusi IWK, Amirudin Abdul Aziz berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk berkongsi bersama masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan.
“Program bersama komuniti ini merupakan antara aktiviti yang dijalankan IWK secara berterusan dalam mengeratkan hubungan selain meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai operasi perkhidmatan pembetungan yang dijalankan,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman dan Pengasas Rumah Siraman Kasih, Kamariah Yaakob. – UTUSAN ONLINE











