Lampard bawa Derby County setapak ke Liga Perdana Inggeris - Utusan Malaysia

Lampard bawa Derby County setapak ke Liga Perdana Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 16 Mei – Derby County yang dibimbing bekas pemain Chelsea, Frank Lampard kini hanya setapak sahaja lagi untuk dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris selepas layak ke final playoff Liga Kejuaraan awal hari ini.

Pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di tempat lawan, Derby bangkit daripada kekalahan 0-1 pada aksi pertama dengan menang 4-2 hari ini sekaligus mara menerusi agregat 4-3 untuk membuat penentuan dengan Aston Villa di final pada 27 Mei ini.

Jack Marriott muncul wira Derby apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu manakala dua gol lagi disumbangkan Mason Mount dan Harry Wilson. Ini kerana gol pertama Marriot telah menjadi pencetus kebangkitan Derby sebelum menutup malam gemilang Derby menerusi gol keempat dan terakhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun pujian bukan sahaja harus diberikan kepada pemain Derby tetapi juga kepada Lampard yang berjaya memberi impak besar kepada cabaran kelab itu musim ini biar pun baharu semusim menjadi pengendali di situ.

“Saya katakan kepada pemain, semua orang memandang rendah keupayaan kami sebagai tiada harapan. Jadi mereka kena tunjukkan keberanian mengawal bola dan pemain saya berjaya melakukannya.

“Ini masa untuk berseronok menikmati kejayaan ini tetapi jangan lupa persiapan untuk menghadapi Aston Villa pula. Kami kekal sebagai pasukan bukan pilihan,” kata Lampard selepas perlawanan.

Pengurus Leeds, Marcelo Bielsa pula ternyata kecewa kerana walaupun skuad bimbingannya menguasai permainan di babak pertama dan berjaya lebih dahulu membuka jaringan namun ia gagal dimanfaatkan untuk mara ke final.

“Kami sepatutnya sudah menjarakkan diri dengan selesa di babak pertama dengan gol yang banyak,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini