PARIS 15 Mei – Maria Sharapova terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Perancis selepas mengalami kecederaan di bahu.
Juara Grand Slam lima kali itu tidak beraksi sejak menarik diri daripada kejohanan domestik di Rusia pada hujung Januari lalu.
“Adakalanya keputusan menarik diri bukan mudah untuk dibuat.
“Begitu pun, berita baiknya, saya sudah kembali berlatih di gelanggang dan berusaha mendapatkan kekuatan di bahu saya,” kata juara Roland Garros dua kali itu.
Sharapova, 32, turut menjalani pembedahan kecil di bahagian bahunya pada Februari lalu.
Dia bergelut untuk mendapatkan tahap terbaik selepas digantung selama 15 bulan akibat gagal ujian doping yang tamat pada 2017.
Terbuka Perancis akan diadakan pada 26 Mei hingga 9 Jun ini menyaksikan Rafael Nadal dan Simona Halep juara bertahan. – AFP











