PERASAAN curiga parti-parti politik tertentu kepada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau lebih popular dipanggil SB bukanlah perkara baharu sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Berikutan itu kita tidak perlu berasa terkejut dengan keputusan Parti Warisan di Sabah tidak membenarkan anggota Cawangan Khas menghadiri sidang akhbar parti tersebut. Ia memandangkan apa yang berlaku hanyalah sebahagian daripada sindrom perasaan curiga kepada pasukan berkenaan sejak sekian lama.
Tidak berapa lama selepas PRU-14, penulis diberitahu oleh beberapa rakan dalam Cawangan Khas bagaimana parti dahulunya pembangkang tetapi kini sudah menjadi kerajaan tidak selesa dengan kehadiran mereka. Ada dalam pemimpin tersebut secara terbuka berkata, “kami sudah jadi kerajaan, SB tak perlu ikut lagi”. Inilah tanggapan dan tafsiran salah terhadap tugas-tugas anggota Cawangan Khas.
Mereka berpendapat seolah-olah anggota cawangan itu kerjanya hanya melibatkan soal risikan politik sahaja, macam tidak ada tugasan lain. Tanggapan salah seperti inilah menyebabkan Cawangan Khas sejak berpuluh-puluh tahun lalu dianggap menjadi alat kerajaan sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah sebahagian daripada tugas berkaitan menjaga keselamatan negara.
Memetik kata-kata seorang sahabat, tugas anggota Cawangan Khas adalah membuat risikan bagi tujuan keselamatan dan laporan yang dibentangkan kepada pihak atasan adalah secara telus tanpa berat sebelah atau menyembunyi apa-apa fakta. Ia bukan soal pembangkang atau kerajaan. Berilah layanan sebaik mana atau seburuk manapun, laporan yang dibentangkan tetap tidak berubah, apa yang dilihat, apa yang didengar dan apa yang berlaku itulah yang dilaporkan kepada pihak atasan. Sama ada laporan itu disenangi atau tidak oleh kerajaan mahupun pembangkang itu soal kedua, apa yang lebih penting keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Hakikatnya tidak perlu mana-mana pihak terutamanya parti politik berasa tergugat dengan kehadiran anggota Cawangan Khas jika mereka tidak mempunyai apa-apa agenda yang pelik-pelik. Langkah mahu meminta anggota cawangan berkenaan memperkenalkan diri sebelum kebenaran diberikan untuk menghadiri satu majlis atau sidang akhbar adalah sesuatu yang melucukan, kalau macam itu adalah lebih baik mereka menggantungkan sepanduk ‘Saya SB’ di leher.
Anggota Cawangan Khas bukan seperti watak Inspektor Jacques Clouseau dalam filem The Pink Panther yang apabila dia datang sahaja semua orang tahu dia adalah pegawai polis. Sebaliknya, mereka dalam istilah lain adalah perisik – mana ada negara dalam dunia ini yang perisiknya mengaku ‘saya perisik’ di khalayak ramai. Apapun hormati pegawai dan anggota cawangan berkenaan. Soal siapa yang mereka atau kawan mereka undi ia adalah hak demokrasi masing-masing, apa yang penting sebagai sebuah pasukan perisikan terunggul di negara ini, yakinlah kepada tahap profesionalisme Cawangan Khas PDRM.











