KEMAMAN – Seorang wanita warga emas yang sedang berjalan kaki pulang dari sebuah klinik maut selepas dirempuh sebuah van milik Pos Malaysia Berhad yang terbabas di Kilometer 6, Jalan Chukai – Air Putih di hadapan Masjid Jamek Binjai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Zaharah Yahaya, 72, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan sebahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Zaharah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Batu 4 1/2 Binjai dari sebuah klinik di Taman Semarak, Binjai di sini.
Beliau berkata, difahamkan mangsa berjalan kaki ke klinik itu untuk mendapatkan rawatan lututnya yang sakit.
“Sewaktu sedang melintas jalan di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 300 meter dari klinik berkenaan, dia tiba-tiba dirempuh sebuah van Pos Malaysia yang hilang kawalan.
“Sebelum itu, van yang dipandu kakitangan Pos Malaysia berusia 34 tahun itu telah terbabas lalu merempuh dua kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Masjid Jamek Binjai di sini itu,” katanya kepada Kosmo! online di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, siasatan awal mendapati van jenis Toyota Hiace tersebut hilang kawalan lalu terbabas gara-gara mengelak sebuah kenderaan lain di hadapannya yang tiba-tiba membelok ke persimpangan kanan. – K! ONLINE











