Kad UNHCR tarikan kepada PATI? - Utusan Malaysia

Kad UNHCR tarikan kepada PATI?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 15 Mei – Seorang saksi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara kubur di Wang Kelian, Perlis berpendapat, kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) merupakan antara tarikan kepada pendatang asing tanpa izin masuk ke negara ini.

Menurut bekas Pengarah Imigresen Perlis, Mohd. Amir Othman, ini kerana pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR boleh bebas bergerak di negara ini.

Malah beliau berpendapat, terdapat PATI yang seolah-olah mahu ditahan pihak berkuasa supaya ditempatkan di depoh tahanan tetapi kemudiannya dilepaskan apabila mempunyai kad tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia boleh bergerak bebas. Ikut undang-undang negara, mereka yang memegang kad UNHCR tidak boleh bekerja, tetapi bila bekerja tak boleh tangkap.

“Pada pendapat saya, kad salah satu tarikan yang kuat untuk mereka datang,” katanya yang menjadi saksi ke-30 prosiding tersebut di hadapan tujuh ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Dalam prosiding itu, Mohd. Amir memaklumkan, statistik tahanan PATI menunjukkan peningkatan paling tinggi pada 2013 iaitu lebih 2,500 orang majoriti warga Myanmar berbanding lebih 500 orang setahun sebelumnya.

Jumlah PATI yang ditahan bagaimanapun katanya, berkurangan pada tahun-tahun selepas itu hasil penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri.

Menjawab satu soalan, Mohd. Amin memberitahu, berdasarkan siasatan, kebanyakan PATI memaklumkan mereka datang ke negara ini secara sukarela dan tidak melibatkan sindiket pemerdagangan manusia.

“Mereka ini masuk tak ikut pintu masuk, ikut hutan, hutan kita luas, saya tak tahu jumlah sebenar PATI,” katanya.

Menurut Mohd. Amin, berdasarkan siasatan yang dijalankan, kesemua PATI ini seperti diajar oleh pihak tertentu untuk bercakap apabila ditahan pihak berkuasa.

Jelasnya, andaian itu berdasarkan jawapan yang diberikan oleh pendatang terbabit.

Ditanya sama pihaknya terlibat dalam operasi di kem di Wang Kelian, beliau memberitahu, pihaknya tidak terlibat dan hanya menjalankan operasi di pintu-pintu masuk negara di sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini