KUALA LUMPUR 15 Mei – Polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan sijil cuti sakit menggunakan nama hospital kerajaan susulan penahanan empat suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.
Sindiket yang aktif sejak setahun lalu itu dipercayai menjual MC dengan harga antara RM20 hingga RM25 sekeping.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kegiatan empat suspek berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun itu terbongkar selepas tiga daripada mereka ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di hadapan sebuah restoran di Jalan Hamzah, Kampung Baru, di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan dua buah buku sijil cuti sakit dan 42 keping sijil cuti sakit dari pelbagai hospital kerajaan disyaki palsu.
“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Rawang serta Kampung Tasek Tambahan, Ampang, Selangor.
“Serbuan berjaya membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki selain rampasan 67 unit cop getah dengan pelbagai nama doktor dari pelbagai hospital serta klinik, buku sijil cuti sakit (39), buku resit rasmi poliklinik dan surgeri (16) dan masing-masing satu stamp pad dan telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi, hari ini.
Ujar Mohd. Fahmi, hasil soal siasat mendapati suspek menjual sijil cuti sakit palsu menerusi aplikasi WeChat selain dijual secara langsung melalui rakan terdekat.
“Bagi pelanggan yang membeli secara pukal, suspek akan menjualnya dengan harga RM400 sehingga RM450 setiap buku. Kita percaya buku sijil cuti sakit ini dibeli suspek di kedai percetakan di Kelantan, manakala cop getah dibeli di kawasan Pudu.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kita juga akan mengenal pasti sama ada nama doktor yang tertera di cop sijil cuti sakit berkenaan wujud atau tidak,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihat tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini dan sebarang maklumat berkaitan kegiatan terbabit boleh disalurkan kepada BSJK IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
habis.











