Aktiviti ternak babi secara haram dikesan di Port Dickson - Utusan Malaysia

Aktiviti ternak babi secara haram dikesan di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 15 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mendedahkan terdapat sebuah kawasan ternakan babi yang beroperasi secara haram di Port Dickson.

Beliau berkata, kegiatan tersebut bermula secara kecil-kecilan sejak tahun 2004, namun tiada tindakan diambil sebelum ini.

Berikutan itu, katanya, sebuah jawatankuasa yang dianggotai beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Daerah Port Dickson ditubuhkan bagi menangani isu tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada satu tempat (ternakan babi), bilangan tak besar tapi boleh kawal. Saya mahu lihat bagaimana perkara itu berlaku, sudah lama tapi tiada tindakan.

“Kita juga lihat ada beberapa tempat penyembelihan haram, kerajaan negeri memang tak benarkan kawasan itu. Kita nak tangani secara harmoni. Kita serah kepada jawatankuasa untuk bincang sebelum bawa kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas isu pencemaran sungai di Kampung Baru Site A, Port Dickson dipercayai ada kaitan dengan aktiviti ternakan dan penyembelihan babi dan katak yang dikesan di kawasan berkenaan pada 31 Mac lalu.

Kerajaan negeri melarang penternakan babi selepas ratusan penduduk di Bukit Pelanduk, Port Dickson meninggal dunia ekoran wabak Japanese Encephalitis (JE) pada 1998.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pencemaran itu hanya melibatkan satu kawasan sungai, namun langkah awal akan diambil bagi mengelaknya merebak dan berulang pada masa akan datang.

Katanya, ia juga tidak akan menjejaskan industri pelancongan kerana kawasan berkenaan terletak jauh dari lokasi tumpuan pelancong di Port Dickson. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini