ALOR SETAR – Lebih 40 penuntut Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) di Jalan Sultanah di sini mengalami gejala keracunan makanan selepas menjamah nasi Arab yang disumbangkan sebuah restoran lewat malam tadi.
Kira-kira 15 penuntut yang mengalami gejala teruk muntah dan cirit-birit dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini oleh pensyarah.
Sementara baki penuntut menerima rawatan daripada pasukan perubatan HSB di pusat pengajian tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah Iqdar, Muhammad Yusni Yaakob, kes pertama dilaporkan pada pukul 8 pagi ini apabila seorang penuntut tidak hadir ke kelas kerana mengalami cirit-birit.
“Kalangan pensyarah kemudian menyedari lebih ramai penuntut berusia antara 18 hingga 21 tahun tidak hadir ke kelas sebelum mendapati kesemua mereka mengalami keracunan makanan.
“Mereka mengalami sakit perut, pening, muntah dan cirit-birit selepas dikatakan makan nasi Arab lauk ayam dan kambing yang disumbangkan sebuah restoran kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya ketika ditemui di Iqdar di sini hari ini.
Kata beliau, penuntut memaklumkan ada yang menjamah nasi Arab itu pada waktu moreh iaitu selepas solat tarawih dan ketika bersahur antara pukul 2 hingga 5 pagi ini.
“Mungkin juadah itu sudah tidak elok kerana disimpan dalam masa lama selain saya tidak tahu sama ada nasi Arab yang disumbangkan itu adalah baru atau makanan berlebihan dari restoran tersebut,” ujarnya.
Seorang penuntut jurusan Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Muhammad Afham Anwar, 20, berkata, dia makan nasi Arab itu pada pukul 2 pagi semalam dan mula sakit perut dan cirit-birit ketika bangun bersahur.
“Semasa saya makan nasi Arab, rasanya seperti biasa dan tiada yang pelik,” katanya. – K! ONLINE











