KUALA LUMPUR 15 Mei – Seorang lelaki parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 433.3 Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa Mohd. Affendy Mat Puat parah di bahagian kepala manakala dua lagi pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, dua kenderaan lain yang terlibat dalam kejadian itu iaitu sebuah lori simen dan bas milik Universiti Utara Malaysia.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kemalangan ini berlaku semasa mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira dari arah Selatan menuju ke Utara.
Ujarnya, setiba sahaja mangsa di lokasi kejadian, kenderaannya telah terbabas sendiri dan melanggar penghadang kiri jalan sebelum dilanggar oleh lori membawa muatan simen dari arah belakang di lorong kiri jalan.
“Akibat perlanggaran ini, kenderaan mangsa berpusing masuk ke lorong tengah jalan sebelum dilanggar oleh bas yang membawa 38 penumpang dari arah belakang.
“Susulan itu, mangsa tersepit dalam kenderaan dan menyebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala dan dia kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Bak Phai, kesemua 38 penumpang dalam bas tersebut bagaimanapun telah beredar dari lokasi dan tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











