40 pelajar Iqdar keracunan makanan - Utusan Malaysia

40 pelajar Iqdar keracunan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 15 Mei – Kira-kira 40 orang pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar), di sini mengalami keracunan makanan selepas disyaki menikmati juadah moreh yang disumbangkan sebuah restoran di sini, malam tadi.

Pelajar-pelajar Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat berkenaan menerima makanan berkenaan iaitu sebanyak 150 bungkus nasi arab berlauk ayam dan kambing kira-kira pukul 11 malam.

Sebahagian mereka dipercayai terus menjamah nasi tersebut, manakala bakinya menyimpan sebagai juadah ketika bersahur sebelum diserang cirit-birit dan muntah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pengarah Iqdar, Muhammad Yusni Yaakob berkata, jumlah pelajar yang masih serius mengalami simptom tersebut setakat ini terdiri daripada 21 orang pelajar perempuan dan 15 orang pelajar lelaki yang berusia antara 18 hingga 21 tahun.

“Kejadian itu mula disedari sejak pukul 8 pagi ini selepas seorang pelajar mengadu sakit perut kepada pensyarahnya ketika mengikuti proses pembelajaran di dalam kelas.

“Selepas itu, barulah kita mengetahui ramai pelajar tidak masuk ke kelas masing-masing kerana mengalami masalah yang sama. Pelajar yang sakit teruk kemudian dihantar ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Muhammad Yusni, pemberian nasi arab tersebut kepada pelajar yang tinggal di asrama institut berkenaan di luar pengetahuan pihaknya.

“Iqdar memiliki seramai 230 pelajar, kesemua mereka tinggal di asrama tetapi nasi arab yang dihantar hanya kira-kira 150 bungkus, jadi kita mengesyaki makanan yang diberi itu adalah lebihan yang disediakan pihak restoran,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Afham Anwar, 20, berkata, dia mula sakit perut ketika bangun untuk bersahur kira-kira pukul 5 pagi.

“Saya makan nasi arab ini pada pukul 2 pagi dan ketika makan rasa macam biasa sahaja, namun semasa bangun untuk bersahur saya rasa sakit perut sehingga jadi tak selesa.

“Selepas solat Subuh, keadaan baik sedikit tetapi ketika berada dalam kelas, sakit perut kembali semula sebelum saya memaklumkan kepada ustaz (pensyarah),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini