Pegawai tentera curi beg tangan mewah diberkas polis - Utusan Malaysia

Pegawai tentera curi beg tangan mewah diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pegawai tentera kerana mencuri pelbagai beg tangan berjenama mewah bernilai RM250,000 daripada sebuah premis di pusat beli-belah di Jalan Imbi di sini.

Suspek melakukan jenayah tersebut pada awal pagi 3 Mei lalu ketika premis yang dimasukinya belum beroperasi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, ketika pemilik kedai tersebut sampai kira-kira pukul 11 pagi, dia mendapati bahawa kedai tersebut sudah berselerak dan beberapa beg tangan berjenama mewah seperti Chanel dan Hermes sudah dicuri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan bukti daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di situ, pada 9 Mei lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di perkarangan pejabat Kem Tentera Sungai Besi di sini.

“Polis juga telah merampas 70 buah beg tangan pelbagai jenama mewah dan peralatan pecah kedai di dalam sebuah kereta jenis Kia Spectra berwarna hitam yang turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Mohd. Fahmi menambah, modus operandi suspek berpangkat kapten itu adalah mengenal pasti premis yang mahu dimasukinya terlebih dahulu dengan membuat jualan beg tangan di situ.

“Dia akan membuat pemerhatian terhadap beg yang dijual sebelum datang semula untuk melakukan pecah masuk kedai.

“Kebiasaannya jenayah itu akan dilakukan pada awal pagi dan selepas mencuri, pintu kedai ditutup semula sebelum pemilik datang dan menyedari kedainya sudah dirompak,” ujarnya.

Beliau berkata, pemilik premis itu telah mengenal pasti 60 beg tangan yang dirampas adalah miliknya manakala selebihnya daripada kes pecah premis di kawasan lain.

“Suspek direman sehingga hari ini dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah atau kedai,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini